Bukan Mudah Nak Tambah Isteri 1
Sebilangan isteri amat suka membaca blog-blog di laman internet, tak kurang pula si suami suka juga berblog seperti yang dilakukan oleh ramai suri rumah dewasa ini. Kekadang kita akan berjumpa dengan blog yang kita rasa ceritanya seakan cerita kisah hidup kita, terus kita akan follow blog tersebut dan share dengan rakan-rakan yang kita rasa punya masalah yang sama dengan kita. Tujuan kita berkongsi blog adalah untuk bertukar pendapat,dan berharap luahan hati kita sampai dan tepat pada orang yang sepatutnya. Kita mengharapkan orang yang membaca blog kita segera berubah dan memberikan respon kepada apa yang ingin disampaikan oleh penulis blog. Betapa harapan itu menjadi satu impian penulis, namun kenapa penulisan itu hanya sekadar tulisan dan pembacaan semata-mata?
Atas kepentingan inilah saya tampil untuk menjadi penulis kedua yang memberi respon kepada segala pemasalahan yang berlaku sekitar hubungan suami dan isteri yang kebelakangan ini kian meruncing. Nilai sebuah perkahwinan menjadi begitu rendah berbanding nilai yang disebut semasa berlangsungnya acara akad nikah. Betapa rapuhnya ikatan sebuah perkahwinan yang dianggap suci itu,sehingga manusia lupa akan tanggungjawab dan amanah yang diberikan Allah kepada mereka. Bahkan kehadiran anak-anak dalam hubungan kekeluargaan langsung tidak memberi kesan dalam hati mereka untuk menilai ikatan yang dijalinkan atas nama Allah S.W.T.
Ucapan cinta,sayang,rindu hanyalah mainan di bibir sahaja. Selepas berkahwin segalanya bagaikan dilanda tsunami yang tidak bertepi. Nilai murni hanyut dibawa arus tanpa ada rasa belas dan kasihan pada sebuah ikatan yang dijalinkan. Betapa kejamnya manusia yang pandai bermain dengan kata-kata. Lantaran kata-kata itu telah menerbitkan rasa cinta,kasih,sayang dan rindu yang membuak-buak,seterusnya menimbulkan rasa untuk bersama sebagai sepasang kekasih atau suami isteri. Keadaan yang dipaparkan dalam kaca tv mahupun yang didengari dari corong-corong radio cukup membuktikan betapa dayusnya manusia akhir zaman. Kes bunuh dan keguguran bayi kerap dicetak di dada akhbar dewasa ini. Keadaan ini cukup membimbangkan para da'ie dan da'ieyah yang punya sensitiviti terhadap "deenul Islam",agama yang cukup harmonis dan sinonim dengan sifat kasih sayang.
Izinkan saya memohon maaf jika paparan cerita saya ada membuat pembaca dan peneliti blog berasa tersinggung dengan tulisan saya yang tidak seberapa ini, kerana saya tidak ada niat untuk mengutuk atau menyinggung sesiapa melainkan rasa terpanggil untuk berkongsi rasa bersama rakan-rakan yang mungkin memerlukan pandangan dan penyelesaian kepada pemasalahan yang sedang mereka hadapi. Di sini saya ingin bawa saudara/i untuk meneliti slot-slot cerita di bawah ini sebagai satu selingan dalam memahami kerenah dan ragam suami dan isteri.
Slot 1 : En. Rushdan
"Saya bukanlah suami yang terlalu baik tapi saya bukan juga suami yang jahat. Tapi terus terang saya katakan,kadangkala apabila tengok rakan-rakan lain yang sudah berkahwin berkepit dengan girlfriend, teringin juga dalam hati nak jadi seperti mereka. Bukanlah kerana nak seronok-seronok tapi saja nak test market sama ada masih laku atau tidak. Bohong kalau saya cakap tak pernah terlintas untuk kahwin satu lagi, tapi untuk menjadikan mimpi itu kenyataan ternyata bukan semudah memetik suis lampu. Bagi lelaki seperti saya,yang sedar akan kemampuan saya terus mematikan keinginan itu begitu saja. Kalau nak kira seronok, memanglah tapi persoalannya di mana penamatnya? Bercinta bagi seorang suami ibarat bermain bola tanpa hajat nak menjaringkankan gol."
Ulasan penulis :
"Saya beranggapan bahawa ramai suami di luar sana yang punya style di atas. Jadi awaslah wahai wanita,tak kiralah sama ada anda anak dara atau 'mak jan' atau siapa saja,tidak ada kucing yang misainya tidak menguit jika ikan sudah ada di depan mata. Bagi lelaki yang sudah berkahwin dan isteri pula bukan betul-betul troublemaker,rumahtangga sedia ada adalah lebih berat timbangannya jika dia perlu buat keputusan untuk kahwin lagi satu.Lainlah jika si suami itu betul-betul bersedia untuk menghadapi apa jua risiko dengan keputusan itu. Jadi,dalam keadaan ini siapa yang menjadi mangsa?....Wanitalah juga...."
Slot 2 : En. Azhar
"Pada suatu ketika,saya pernah ditanya oleh isteri saya sama adapernah ada hati untuk kahwin lagi? Melihat cuaca yang agak baik saya pun menjawab "Ya". Dia tanya lagi "Bila?" Saya kata " Masa kita gaduh,abang fikir kalaulah ada rumah satu lagi kan best. Sayang marah-marah,abang lari rumah sana"
Ulasan penulis:
"Dalam ilmu komunikasi,konflik seperti itu dipanggil sebagai konflik 'pseudo' iaitu konflik yang direka oleh dua pihak yang bertelagah yang sebenarnya mempunyai matlamat yang sama di dalam hati mereka namun sangkaan mereka bercanggah hanya kerana mereka tidak berterus terang. Oleh itu, dalam suatu hubungan kita hendaklah mengeluarkan kata dari hati kita dan tidak cuba memendam rasa yang akhirnya akan memakan diri sendiri."
Slot 3 : Pn. Mastiah
" Saya suka sangat tengok filem hindustan,asyik dibuai lagu-lagunya dan artis-artisnya yang lawa dan kacak. Paling saya suka cerita-cerita yang romantis, kadang saya rasa saya yang berada dalam kaca tv tu. seronok dapat jadi seperti Rani Mukherjee, Kajol, Pretty Zenta dan lain-lain tu. Saya bagaikan berada dalam sebuah taman jika jalan cerita berbaur romantik."
Ulasan penulis:
"Apa yang saya nak komen di sini, saya percaya kebanyakan isteri yang meminati filem hindustan ini berhasrat mahu mimpi mereka menjadi kenyataan seperti apa yang mereka tonton di dalam filem. Impian itu mungkin tidak terluah dengan kata-kata tapi boleh jadi sudah meresap ke dalam minda di bawah sedar (sub-conscious mind) mereka. Jadi mereka letak satu harapan yang tinggi dalam rumahtangga sehinggakan bila kekurangan yang timbul dari pihak suami menyebabkan si isteri rasa kurang enak dengan perasaan yang mereka lalui di bawah pemikiran bawah sedar mereka itu. Lantaran itu, wahai isteri di luar sana, kita kena ingat bahawa suami dihadirkan dalam hidup kita sebagai satu pinjaman semata. Kelebihan dan kekurangan si suami hendaklah kita terima dengan redhanya,kerana ia merupakan satu ujian buat kita sebagai hamba. Kita sebagai perempuan bukan mudah untuk terima hakikat jika suami buat salah tapi hakikatnya kita semua hanyalah hamba....."
akan bersambung lagi...insyaAllah....ampun maaf jika tersalah kata....

No comments:
Post a Comment